PENGUNTUKAN KELAS BAGI PERANTI
PERKHIDMATAN RADIO PERIBADI
1. Takrif
(1) Dalam penguntukan kelas ini, “peranti perkhidmatan radio peribadi” ertinya suatu peranti radiokomunikasi dua hala yang dikendalikan dalam jalur frekuensi yang ditetapkan.
(2) Tertakluk kepada subperenggan (1), semua istilah yang semata-mata bersifat teknik hendaklah mempunyai erti yang sama seperti dalam Konvensyen Telekomunikasi Antarabangsa.
2. Jalur frekuensi
Suatu peranti perkhidmatan radio peribadi hendaklah hanya menggunakan mana-mana jalur frekuensi yang berikut yang telah diuntukkan bagi penguntukan kelas ini, antara penggunaan lain, atas dasar perkongsian tidak eksklusif:
(a) 26.9650 MHz hingga 27.4050 MHz;
(b) 477.0125 MHz hingga 477.4875 MHz; atau
(c) 477.5250 MHz hingga 477.9875 MHz.
3. Penguntukan kelas
Penguntukan kelas ini memberikan hak kepada mana-mana orang untuk mengendalikan suatu peranti perkhidmatan radio peribadi tertakluk kepada:
(a) syarat-syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 4; dan
(b) peranti itu dikendalikan dalam jalur frekuensi sebagaimana yang dinyatakan dalam ruang kedua Susunan B, C dan D.
4. Syarat-syarat
(1) Rancangan saluran
Rancangan saluran sebagaimana yang dinyatakan dalam Susunan B, C dan D hendaklah dipatuhi.
(2) Jenis modulasi dan ruangan saluran
(a) Jenis modulasi hendaklah sebagaimana yang dinyatakan dalam ruang ketiga Susunan B, C dan D; dan
(b) Ruangan sa1uran hendaklah sebagaimana yang dinyatakan dalam -
(i) ruang kecil pertama dan kedua ruang kelima Susunan B; dan
(ii) ruang kelima Susunan C dan D.
(3) Saluran simpanan
Saluran sebagaimana yang dinyatakan dalam ruang keenam Susunan B, C dan D hendaklah disimpan bagi kegunaan kecemasan dan kegunaan panggilan.



